Saturday, 20 April 2013

Sistem Pertanian Purba

Ternyata asal-usul peradaban pertanian purba di negara China memperlihatkan kesanggupan manusia untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan lokasi geografi yang berbeza (di kedua-dua dataran loes tinggi dan lembah Sungai Yangzi), dan menghasilkan apa yang disebut Kebudayaan Milet (Bijirin) dan Kebudayaan Sawah Padi yang wujud secara berasingan di bahagian utara dan selatan China. Kedua-dua jenis kebudayaan tersebut telah mengasaskan peradaban pertanian di negara China untuk selama beberapa ribu tahun. Faktor- faktor tersebut juga membantu menjawab persoalan (dari perspektifsejarah) kenapa pembangunan berbentuk pertanian begitu dititikberatkan oleh dinasti- dinasti Cina yang lepas.

Berbanding negara-negara kelautan yang memiliki kawasan pedalaman yang terhad, wilayah-wilayah di negara China adalah luas sekali. Ini ditambah lagi dengan dataran pedalamannya yang luas tanpa wujudnya halangan-halangan semula jadi yang menghalang atau membatasi hubungan rakyat telah memudahkan integrasi dan keseragaman politik, ekonomi, kebudayaan dan ketenteraan. Berdasarkan lokasi geografi negara China, di bahagian timurnya menghadap ke lautan, di bahagian barat-laut dirintangi oleh gurun yang luas dan di barat daya iaitu Dataran Tinggi Qinghai-Tibet yang terluas di dunia (dengan ketinggian 4,000 hingga 5,000 meter secara purata) telah membentuk satu zon yang separuh tertutup dari dunia luar. Alam sekitar sedemikian bersama daerah pedalamannya yang luas telah mencorakkan sikap bangsa Cina yang berdikari, peramah serta cintakan pendamaian. Keyakinan diri pula membolehkan mereka menerima dan mengasimilasikan sebarang kebudayaan luar yang dibawa masuk ke dalam negara China. Mengenai peranan dan kepentingan sungai, pengaliran sungai yang kebanyakannya menghala ke kawasan timur atau selatan, di samping musim panas yang jauh lebih panjang berbanding dengan keadaan di utara telah menggalakkan pergerakan penduduk, terutamanya para petani untuk menetap di bahagian selatan China. Seiring dengan pola pergerakan ini, perkembangan kebudayaan juga turut menghala ke kawasan selatan.

Berbanding dengan bilangan penduduk yang agak besar sejak dinasti Qin (221SM-206SM) dan Han (206SM-220TM), tanah yang sesuai untuk dijalankan kegiatan bercucuk tanam itu adalah terhad. Tekanan kekurangan tanah ini telah mengakibatkan tanah diusahakan secara maksimum. Bagaimanapun, pendapatan danpada hasil tanaman ini sekadar untuk menampung kehidupan mereka. Namun, sikap terikat dengan tanah, bekerja keras dan berpuas hati dengan segala yang sedia dimiliki mereka telah mencerminkan psikologi bangsa yang merindui kampung asal dan ontakan tanah air.


No comments:

Post a Comment